MENJAGA KESIHATAN DENGAN MENCONTOHI AMALAN GAYA HIDUP NABI Langkau ke kandungan utama

Yang Ditampilkan

Kekal Sihat dengan Mengawasi Pengambilan Makanan

Ramai beranggapan bahawa pengambilan makanan sihat agak sukar terutamanya bagi golongan yang sentiasa sibuk. Justeru ada yang menyangka bahawa mengurangkan pengambilan makanan harian adalah cara diet yang terbaik untuk menjaga kesihatan. Bagaimanapun sebenarnya pemilihan makanan dan penjagaan porsi adalah cara yang lebih mudah untuk tubuh memperoleh nutrisi yang diperlukan tanpa perlu menahan rasa lapar. Jaga masa makan Perkara pertama yang perlu dititikberatkan dalam perihal penjagaan pemakanan ialah masa makan yang tetap dan teratur. Sarapan pagi merupakan masa makan yang paling penting namun sering dipinggirkan akibat kekangan masa. Sarapan pagi yang baik akan memastikan tubuh anda memperoleh tenaga dan nutrisi yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja harian dengan lebih produktif. Begitu juga dengan waktu makan tengah hari dan makan malam. Elakkan waktu makan tengah hari dan makan malam yang terlalu lewat dari norma. Waktu makan tengah hari yang ideal ialah pada jam 12 tengah hari

MENJAGA KESIHATAN DENGAN MENCONTOHI AMALAN GAYA HIDUP NABI

Terdapat sentimen masyarakat bahawa jika ingin tahu sama ada seseorang itu bahagia atau tidak rumahtangganya, atau sama ada seseorang isteri itu pandai menjaga suaminya; perut suaminya pasti boroi kerana dijamu makanan yang enak-enak.


Sebenarnya isu di sini bukannya sama ada seseorang itu mempunyai perut yang boroi, obesiti atau berbadan kurus. Ia sebenarnya melibatkan keperluan seseorang itu mempunyai gaya hidup yang sihat seperti bersenam dan menjaga diet pemakanan mereka.





Penyakit Kronik Masyarakat Melayu


Rata-rata penyakit kronik ini mempunyai kaitan dengan kegemukan atau obesiti. Penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis serta strok atau angin ahmar adalah berpunca daripada akibat gaya hidup yang tidak sihat.


Kita perlu maklum bahawa kadar kolestrol yang tinggi boleh membuatkan seseorang itu terdedah kepada serangan penyakit jantung. Manakala kandungan gula yang tinggi pula boleh menyebabkan penyakit kencing manis. Penyakit kencing manis ini pula boleh menyebabkan risiko penyakit-penyakit lain.


Lebih membimbangkan pula, mengikut statistik kesihatan yang dikeluarkan oleh Neighbourhood Health Service (NHS) pada tahun 2010, masyarakat Melayu mendahului bangsa-bangsa lain dalam peratusan mereka yang obesiti, mempunyai penyakit ginjal, kencing manis, darah tinggi dan kolestrol yang tinggi. Kajian yang sama juga mendapati bahawa masyarakat Melayu Singapura mempunyai kadar terendah di antara golongan yang bersenam secara konsisten.


Dalam hal ini, panduan yang terbaik pastinya datang daripada Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t.:


“Sesungguhnya telah ada dalam diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu; bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah. (al-Ahzab: 21).


Rasulullah Contoh Terbaik Bagi Amalan Gaya Hidup Yang Sihat


Suri teladan dan contoh baik Baginda s.a.w. yang dimaksudkan ayat ini bukan sahaja terhad dari sudut akhlak dan pekerti mulia sahaja, tetapi juga dari sudut gaya hidup sihat Rasulullah s.a.w.


Mengapa tidak? Ini kerana Baginda diriwayatkan sebagai seorang mempunyai fizikal yang segak dan tidak berbadan boroi. Jika tidak mana mungkin diriwayatkan bahawa Baginda mampu berlumba lari dan mengalahkan isterinya Aishah r.a. yang jauh lebih muda darinya?


Baginda merupakan seorang yang sangat cergas dan mampu bergusti dan mengalahkan lawannya. Baginda juga seorang panglima perang dan telah menyertai banyak peperangan besar semasa hidupnya. 


Mengapa Baginda sangat cergas dan sihat? Pastinya ia kembali kepada gaya pengamalan hidup sihat Rasulullah s.a.w. yang dapat saya simpulkan kepada tiga perkara; (1) diet pemakanan, (2) puasa, (3) solat dan (4) doa.


Pertama – Diet Pemakanan Rasulullah


Terdapat banyak sekali hadis-hadis yang meriwayatkan tentang anjuran untuk menjaga diet pemakanan selain riwayat hadis mengenai sunnah gaya pemakanan Nabi sendiri.


Baginda sendiri pernah menganjurkan agar umatnya tidak terlalu banyak makan sehingga memenuhi ruang perut kita, di mana dalam hadis riwayat Ibnu Majah, Nabi menganjurkan agar hanya sepertiga perut itu untuk makanan, sepertiga yang lain untuk minuman dan sepertiga terakhir untuk nafas.


Menu pemakanan harian Nabi juga diriwayatkan antaranya terdiri daripada roti yang diperbuat daripada gandum, susu, cuka, madu serta kurma.


Jika disebutkan khasiat madu, susu atau kurma mungkin ramai yang sudah tahu kelebihannya. Namun bagaimana pula dengan cuka? Apakah khasiatnya cuka sehingga ia merupakan antara kegemaran Baginda s.a.w. sehingga Nabi s.a.w. pernah bersabda dalam hadis yang diriwayatkan Jabir bin Abdullah r.a., “Sebaik-baik makanan ialah cuka, sebaik-baik makanan ialah cuka!” (Muslim)


Cuka yang diamalkan Rasulullah di sini ialah cuka yang berasal daripada buah-buahan yang dikenali sebagai ‘Khal’, dan bukannya cuka makanan yang diperbuat secara tiruan.


Khasiat cuka epal (Apple Cider Vinegar) contohnya boleh memecahkan molekul lemak dan secara tidak langsung boleh membantu menurunkan berat badan seseorang.


Kedua – Ibadah Puasa Rasulullah


Selain berpuasa pada bulan Ramadan yang merupakan satu kewajipan bagi sekalian umat Islam. Baginda s.a.w. juga dikenali seorang yang berpuasa secara tetap pada setiap minggu.


Antara amalan Nabi s.a.w. ialah berpuasa pada setiap Isnin dan Khamis. Puasa pada hari ‘Ayyamul Bidh’ atau hari-hari putih iaitu pada 13,14 dan 15 pada setiap bulan Hijriyyah.


Ini tidak termasuk puasa Baginda pada hari-hari tertentu seperti puasa pada hari ‘Arafah (9 Zulhijjjah), puasa hari Tasu’a dan ‘Asyuura’ (9 dan 10 Muharram), puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain.


Selain merupakan satu ibadah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan, puasa juga mempunyai faedah-faedah tertentu dari sudut kesihatan tubun badan. Perkara ini diakui sendiri oleh para saintis dan pakar kesihatan bahawa amalan berpuasa dapat membersihkan toksin yang terdapat di dalam tubuh seseorang.


Manakala menurut pakar kajian sains kesihatan dan sains pemakanan pula menyatakan bahawa kesan lapar pada ibadah puasa dalam perubatan adalah lebih baik daripada penggunaan ubat secara berterusan untuk merawat penyakit yang disebabkan obesiti.


Selain itu, dengan berpuasa juga secara tidak langsung tubuh badah kita dapat mengawal kalori, karbohidrat atau kadar gula yang berlebihan. Atas sebab itulah, kita digalakkan untuk berbuka puasa secara sederhana dan tidak melampau, ini agar kesan positif pada tubuh badan yang diraih pada puasa tidak disia-siakan dengan pemakanan yang melampaui batas ketika kita berbuka.


Maka tidak hairanlah sekarang ini, terdapat tren puasa moden yang digelar ‘Intermittent Fasting’ atai IF, di mana antara kaedahnya seseorang itu dikehendaki berpuasa selama 16 jam bermula dari jam 8 malam sehingga 12 tengahari esoknya, dalam jangkamasa tersebut, mereka hanya dibolehkan minum air putih sahaja. 


Sedangkan ianya sudah pun diamalkan oleh Nabi s.a.w., cuma bezanya dari sudut masa dan waktu sahaja, tetapi kesannya adalah tetap sama dengan tambahan keberkatan dan ganjaran dari Allah s.w.t.


Ketiga – Senaman Rasulullah Melalui Solat


Selain itu, Nabi s.a.w. juga diketahui seorang yang sering bersolat malam dengan jangka waktu yang sangat lama. Maka tidak hairanlah, isterinya Aishah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. solat sehingga bengkak-bengkak kakinya. Pastinya ini tidak dapat dilakukan oleh seseorang kecuali Baginda seorang yang sangat cergas dan sihat fizikal tubuh badannya.


Solat malam Rasulullah khususnya mempunyai rutin qiyam (berdiri) yang sangat lama dan panjang. Hal ini jelas melalui hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah bin al-Yaman dalam kitab ‘Sahih Muslim’ yang menyatakan bahawa Baginda bersolat malam dengan rakaat pertamanya akan dibaca sehingga ayat ke-100 daripada surah Al-Baqarah sebelum ruku’.


Baginda Kemudian menyambung lebihan ayat daripada surah al-Baqarah, dan disusuli pula dengan surah An-Nisa’ dan Ali ’Imran pada rakaat kedua. Bayangkan berapa lama solat Baginda ini? Pastinya ia tidak kurang dari dua jam atau lebih!


Begitu juga dengan ruku’ Rasulullah. Nabi s.a.w. juga pernah disebutkan dalam sebuah riwayat bahawa Baginda ruku’ ketika solat malam selama membaca surah Al-Baqarah sebelum membaca tasbih berikut:  


‏سُبْحَانَ ذِي الْجَبَرُوتِ وَالْمَلَكُوتِ وَالْكِبْرِيَاءِ وَالْعَظَمَةِ


“Maha Suci Zat yang mempunyai hak memaksa dan kekuasaan serta yang memiliki kesombongan dan keagungan.”  [Muslim]


Bayangkanlah betapa lama ruku’ Rasulullah ketika solat malam? Bayangkan panjangnya surah Al-Baqarah sebanyak 286 ayat dan merangkumi lebih dari 2 juz dan hampir 50 lembaran.


Seperti yang kita maklumi, solat itu sendiri padat dengan senaman dan pada setiap perbuatannya mempunyai kebaikan-kebaikan pada anggota tubuh badan, urat serta perjalanan darah kita. 


Kedudukan ketika ruku’, sujud dan duduk tahiyat dalam solat mampu memberikan kerehatan kepada jantung, dengan kadar denyutan jantung direkodkan lebih rendah berbanding ketika kedudukan berdiri. Dengan itu digalakkan seseorang itu memanjangkan tempoh sujud kerana ia bakal menghasilkan kadar denyutan jantung yang lebih rendah.


Dengan demikian mereka yang mengalami tekanan darah tinggi digalakkan untuk sujud lebih lama dan kerap bagi mengurangkan kadar denyutan jantung dan menurunkan kadar tekanan darah. Ini kerana kajian menunjukkan lebih banyak darah dapat mengalir ke otak. Sementara dinding dan urat-urat nadi otak dapat menerima lebih banyak darah berbanding dalam keadaan biasa.


Otak juga akan bertambah sihat dan cergas serta mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Dengan itu, posisi sujud sangat baik untuk memperolehi kadar denyutan yang sihat, memanjangkan hayat jantung serta dapat menghindarkan pengecilan saluran darah yang membawa kepada penyakit yang bersangkutan dengan arteri jantung.


Sekarang kita ketahui kaitan antara solat dan kesihatan Rasulullah s.a.w. Ia dilakukan secara konsisten pada setiap malam, sebagai tambahan dari solat-solat yang biasa Nabi lakukan pada siang hari.


Keempat – Doa Rasulullah Bagi Kesihatan Dalam Solat


Setelah kita mengetahui kelebihan solat dari sudut perspektif sains dan kaitan antara solat dan kesihatan Baginda s.a.w. Kita juga akan dapati bahawa Rasulullah banyak mengamalkan doa dan tasbih tertentu dalam solat-solat Baginda terutamanya dalam posisi ruku’ dan sujud.


Antara doa-doa yang sering dibaca oleh Rasullah s.a.w. dalam ruku’ ialah seperti berikut:


اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ خَشَعَ لَكَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَمُخِّي وَعَظْمِي وَعَصَبِي


“Ya Allah kepada Mu aku ruku‘, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah diri, khushu’kanlah pendengaranku, penglihatanku, otakku, tulangku, dan urat-uratku telah tunduk kepada-Mu.’ ”  [Muslim]


  اللَّهُمَّ لَكَ رَكَعْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ أَنْتَ رَبِّي خَشَعَ سَمْعِي وَبَصَرِي وَدَمِي وَلَحْمِي وَعَظْمِي وَعَصَبِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالِمِينَ


“Ya Allah, kepada-Mu aku ruku’, kepada-Mu aku berserah, dan kepada-Mu aku bertawakkal. Pendengaranku, pemandanganku, darahku, dagingku, tulangku, sendiku semuanya khusyu’  (tunduk) kepada Allah, Tuhan semesta alam”.  [Nasaa’i]


Sementara doa yang dibaca Rasulullah dalam sujudnya ialah seperti berikut:


اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ سَجَدَ وَجْهِي لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ


Ertinya: “Ya Allah, hanya untuk-Mu aku melakukan sujud, hanya kepada-Mu aku beriman, dan hanya kepada-Mu aku berserah diri. wajah ku bersujud kepada Zat yang telah menciptakan dan membentuknya, serta yang telah Membelahkan pendengaran serta penglihatannya, Maha Tinggi Allah sebaik-baik Pencipta.” [Muslim]


Doa-doa ini dengan lafaz yang disebutkan tadi yang menariknya disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya ‘Raudhah al-Talibin’ sebagai doa yang paling afdhal diamalkan dalam amalan ruku’ dan sujud solat kita menurut mazhab Shafi’i.


Maka jelas di sini, rahsia kesihatan dan kecergasan fizikal Rasulullah s.a.w. tidaklah datang secara kebetulan, tetapi dapat dirumuskan kerana amalan gaya hidup sihat Baginda s.a.w. yang meliputi diet pemakanan, ibadah puasa, senaman (solat) dan juga doa.


Konklusi


Sebagai umatnya yang mengaku sangat cinta kepada Rasulullah, pastinya ingin mengikuti sunnahnya secara keseluruhan, yakni bukan sahaja akhlak Baginda sahaja tetapi juga amalan gaya hidup sihat Rasulullah s.a.w. agar kita tidak tergolong dalam amaran Nabi tentang golongan manusia yang sering melupakan dua nikmatnya yang paling terbesar; waktu luang dan kesihatan.


Dapatkan Sacha Inchi Oil GNI yang penuh dengan khasiat untuk manfaat kesihatan anda!





Sumber: 1 


Ulasan

Catatan Popular