Konsep Sebenar Halal dan Haram dalam Makanan Langkau ke kandungan utama

Yang Ditampilkan

Kekal Sihat dengan Mengawasi Pengambilan Makanan

Ramai beranggapan bahawa pengambilan makanan sihat agak sukar terutamanya bagi golongan yang sentiasa sibuk. Justeru ada yang menyangka bahawa mengurangkan pengambilan makanan harian adalah cara diet yang terbaik untuk menjaga kesihatan. Bagaimanapun sebenarnya pemilihan makanan dan penjagaan porsi adalah cara yang lebih mudah untuk tubuh memperoleh nutrisi yang diperlukan tanpa perlu menahan rasa lapar. Jaga masa makan Perkara pertama yang perlu dititikberatkan dalam perihal penjagaan pemakanan ialah masa makan yang tetap dan teratur. Sarapan pagi merupakan masa makan yang paling penting namun sering dipinggirkan akibat kekangan masa. Sarapan pagi yang baik akan memastikan tubuh anda memperoleh tenaga dan nutrisi yang cukup untuk menjalankan kerja-kerja harian dengan lebih produktif. Begitu juga dengan waktu makan tengah hari dan makan malam. Elakkan waktu makan tengah hari dan makan malam yang terlalu lewat dari norma. Waktu makan tengah hari yang ideal ialah pada jam 12 tengah hari

Konsep Sebenar Halal dan Haram dalam Makanan

Hari ini, pelbagai produk makanan dan kepenggunaan yang bersifat semasa banyak di pasaran. Ada antaranya dimaklumi kehalalannya. Terdapat juga produk makanan yang masih belum diketahui hukumnya, terutama konsep halal dan haram dalam makanan.


Dengan itu, produk-produk seperti ini memerlukan kajian yang mendalam oleh para ulama bagi menentukan hukumnya secara jelas. Firman Allah S.W.T.  dalam surah Al-Nahl: 116


“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu, “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”


Ironinya, masyarakat Islam tidak boleh menuding jari kepada pihak berwajib semata-semata. Sebaliknya harus sentiasa peka terhadap segala jenis produk makanan dan kepenggunaan yang terdapat di sekeliling mereka.


Sekiranya hal ini dapat dilakukan dengan baik, sudah pasti misi dan visi kerajaan untuk memperkenalkan halal hub dapat terlaksana dengan jayanya. Sekali gus menjadi contoh di peringkat global.


Bagi merealisasikan hasrat murni kerajaan untuk melahirkan produk-produk makanan halal di peringkat nasional dan global, pemahaman terhadap konsep makanan halal dan haram harus ditonjolkan secara komprehensif melalui media cetak dan elektronik kepada lapisan masyarakat.


Para ulama telah membincangkan secara mendalam berhubung makanan yang halal, haram, dan makruh untuk dimakan oleh umat Islam. Justeru, di sini dijelaskan konsep makanan yang halal dimakan menurut perspektif Islam.





Halal itu lebih banyak


Perkataan  halal  sering digunakan dalam penentuan hukum makanan dan sebagainya. Ia memberi erti  harus atau boleh. Apabila sesuatu jenis makanan itu dikatakan halal dimakan, bermaksud ia boleh dimakan. Penggunaan  halal  dalam makanan, umumnya  merangkumi hukum wajib, sunat, harus dan makruh.


Kesemua hukum tersebut bergantung pada jenis produk, haiwan dan keadaan. Oleh sebab itulah, para ulama Islam telah membahagikan perbincangan setiap hukum tersebut dalam satu perbincangan yang khusus.


Dalam isu berhubung konsep makanan dan kepenggunaan halal, ulama menetapkan tiga syarat utama seperti berikut:


Pertama: Memilih produk makanan yang halal dan bersih.


Islam mensyaratkan pengguna Islam agar mencari makanan dan minuman yang halal dan baik (tayyib).


Seperti firman Allah  S.W.T. dalam surah al-A’raf: 157, jika diperhalusi daripada ayat tersebut, ditegaskan kepada umat Islam khususnya pengguna agar memilih semua jenis produk makanan atau minuman yang halal lagi bersih. Adalah tidak benar, apabila terdapat segelintir pengguna merungut “susahlah nak cari yang halal belaka.” Sebenarnya mereka silap.


Jika diselidiki dalam al-Quran, perkara yang halal lebih banyak dari yang haram. Kerana itu, baginda Nabi s.a.w dan para sahabat dididik oleh Allah S.W.T. agar tidak menjamah makanan yang haram atau bernajis.     


Kedua: Tidak melampaui batas.


Walaupun Islam mewajibkan kita mencari makanan yang halal dan suci dalam kehidupan, namun, kita juga diingatkan agar tidak tersilap dalam mentafsirkan arahan tersebut sehingga menyebabkan pembaziran, kerosakan, kemudaratan dan sebagainya. Allah S.W.T. mengingatkan dalam surah al-A‘raf: 31,


“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat, makanlah serta minum lah, dan jangan pula kamu melampau-lampau. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”


Konsep kesederhanaan juga amat perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat Islam. Realitinya, sikap tamak ketika menjamah makanan, suatu amalan yang tidak baik untuk sistem penghadaman.


Bahkan perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan manusia. Konsep kesederhanaan, tidak hanya tertumpu kepada berlebih-lebihan dalam aspek pemakanan.


Ia turut dikaitkan dengan sikap segelintir golongan yang menahan makan kononnya sebagai zuhud untuk beribadah sehingga menyebabkan lemahnya ketahanan dan kesihatan badan. Ini satu pemahaman yang salah. Bagaimana nak beribadah kalau badan sakit? Bagaimana nak beribadah kalau badan lemah?


Maka, sikap kesederhanaan dalam aspek pemakanan, suatu jaminan bagi pembentukan kesihatan yang baik pada tubuh badan. Hal ini telah ditegaskan lagi oleh al-Qur’an berkaitan dengan larangan berlebih-lebihan dalam pemakanan dalam Surah al-Ma’idah: 87,


“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan kehalalannya itu). Sesungguhnya Allah S.W.T. tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”  


Jika kita kembali kepada sunnah, Rasulullah s.a.w. amat melarang para sahabat melakukan sesuatu amalan kebaikan dan kebajikan secara berlebih-lebihan sehingga melampaui batas. Tidak kiralah yang meliputi urusan makanan, minum dan sebagainya. Sabda Baginda s.a.w.,


“Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah asalkan tidak melampau-lampau dan bermegah-megah.” – HR Ibn Majah


Ketiga: Bukan daripada sumber yang haram dan bernajis.


Tanpa sebarang penafian, segala jenis produk makanan yang haram dimakan wajib dihindari dalam semua keadaan. Ini kerana, dikhuatiri makanan haram itu bertukar menjadi darah daging.


Apabila hal ini berlaku, mana mungkin doa mereka hendak dikabulkan oleh Allah S.W.T.? Hal ini digambarkan oleh Nabi s.a.w. dalam sepotong hadis,  bahawa seorang lelaki berdoa kepada Allah sedangkan makanannya, minumannya, pakaiannya dan pendapatannya daripada yang haram. Maka bagaimanakah Allah hendak makbulkan doanya itu?


Kesimpulannya, mencari yang halal itu merupakan satu kewajipan ke atas umat Islam. Sekiranya konsep halal dalam makanan dan minuman dapat diperkasakan dalam kehidupan masyarakat Islam, pasti ia mampu melahirkan generasi al-Quran yang peka terhadap hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Islam.


Maka, akan bermulalah sebuah kehidupan yang mendapat keberkatan oleh Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.


Dapatkan Sacha Inchi Oil GNI yang terbukti halal & selamat. 





Sumber: 1 


Ulasan

Catatan Popular